Permulaanku

Daisypath Anniversary tickers

08 Januari 2017

Short Trip 2 hari 1 malam ke Tokyo, Jepun (Part I)

Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaanNya memberikan kita peluang lagi untuk terus bernafas di bumiNya ini.

Entry kali ini saya nak kongsikan pengalaman menjejakkan kaki ke negara Matahari Terbit, mana lagi kalau bukan negara Jepun. Melawat ke negara Jepun sememangnya menjadi azam atau angan-angan saya sejak zaman sekolah rendah lagi. Ramai kot yang macam saya ni. Ini gara-gara suka sangat tengok drama Jepun & anime lah ni.. Dan peluang yang didapati beberapa hari lepas tidak saya lepaskan walaupun untuk hanya 2 hari 1 malam.

Pic source : Go Japan Go

"Kenapa 2 hari 1 malam je? Beli tiket kapal terbang mahal-mahal, kenapa tak pergi lama sikit?" itu lah pertanyaan yang keluar daripada mulut adik beradik saya & rakan-rakan yang tahu pasal trip saya ni.. Sebabnya?
  1. Trip kali ini kami (saya dan en. miorku) ikut sekali dengan adik ipar & suaminya.
  2. Ada urusan keluarga yang perlu dihadiri pada hari Ahad 8 Januari 2017, makanya perlulah balik awal!

Okey.. Ini serba sedikit catatan pengalaman saya. Saya mulakan dahulu dengan persediaan yang saya ambil sebelum perjalanan ini.. Walaupun hanya untuk trip singkat @ short trip 2 hari 1 malam!


1. Persediaan sebelum ke Tokyo

Bulan Disember hingga Mac adalah musim sejuk di Jepun. Walaupun musim sejuk, tidak semua kawasan di Jepun adalah bersalji. Kawasan bersalji adalah di sebelah utara Jepun antaranya Hokkaido.

Namun begitu, jika ada rezeki atau dengan izin Allah, salji atau yuki boleh turun juga di Tokyo seperti pada hujung November 2016 lalu yang mana salji turun di Tokyo selepas 54 tahun!

Walaupun begitu, suhunya tetap sejuk iaitu di antara 12 - 0 darjah selsius. Untuk saya yang belum pernah merasai musim sejuk, persiapan sewajarnya perlu saya sediakan agar saya tidak menggigil di sana nanti. Haha.. Saya sendiri tidak dapat merasai sejauh mana sejuknya 12 - 0 darjah selsius itu selagi saya tidak merasainya sendiri.

Yang pastinya, inilah pakaian persediaan kami untuk ke Tokyo:

i. Winter coat

Baju Sejuk
 Kiri : Winter coat ini saya beli melalui Lelong.my (seller - aeioumall) dengan harga RM96.10 termasuk pos. Warna ungu.

Kanan : En. Miorku yang punya. Beli dah lama kat Buy & Trade, PJ.

ii. Stokin wool
 
Stokin wool

Yang kiri tu saya beli di lelong.my melalui seller cosimo tiga pasang RM31.00 termasuk pos. Yang ini bukan 100% wool. Ada campuran polyster dan lain-lain material.

Yang sebelah kanan 100%. Beli di Going Places, Sogo. Dua pasang RM27.

Stokin wool membantu kaki untuk menahan kesejukan. Dan sebaik-baiknya disediakan lebih.

iii. Sarung tangan

Sarung tangan Daiso

Sarung tangan ni saya beli di Daiso. Bila di Tokyo, saya pakai sekejap saja. Sebabnya, benang-benangnya asik terkeluar. Rimas pulak. Tak pakai yang ini, saya pergi beli yang lain di Don Quijote dengan harga 990 yen (RM41 termasuk 8% tax)! Padahal, saya boleh beli dengan harga RM20 di Going Places Sogo!

iv. Kasut

Untuk kasut, saya hanya pakai kasut sukan sedia ada. Aktiviti ala backpackers akan banyak berjalan. So, adalah lebih selesa memakai kasut sukan sahaja.

v. Sweater

Untuk trip singkat ini, saya telah membeli 3 helai sweater! Last-last yang saya bawa hanya 1 sahaja. Tak ke membazir namanya?

Sweater 1 - Dibeli melalui Lelong.my - RM74 termasuk pos


Sweater 2 - Dibeli melalui Lazada.Com. Harga RM72. Tolak coupon dapat RM46.

Sweater 3 - Di beli di Going Places dengan harga RM80. Yang saya bawa adalah sweater yang di beli di Lazada.

Jika musim sejuk, badan kurang berpeluh. Memadai bawa dua tiga helai baju sahaja. Yang perlu ditukar hanya pakaian dalaman (lapisan pertama selepas pakaian dalam). Saya tidak beli heat tech (uniqlo) atau long john. Sebabnya berdasarkan survey yang saya baca di blog-blog, long john boleh dipakai untuk suhu 0 dan ke bawah. Untuk trip ini, saya hanya spare inner sahaja untuk lapisan pertama. Blouse lengan panjang untuk lapisan kedua. Sweater untuk lapisan ketiga dan winter coat untuk lapisan keempat. Hahaha. Dan ia sememangnya cukup membantu menahan kesejukan yang sampai ke tulang! Untuk seluar, saya hanya pakai seluar jeans sahaja. Namun untuk trip malam, saya sarungkan juga seluar dalam panjang sebagai lapisan pertama.

2. Tiket penerbangan ke Tokyo

Lega dah dapat boarding pass.. Terus update IG..

Suami adik ipar saya staf MAS. Selain pasangan dan anak-anak, 10 nama tambahan bagi setiap staf (ahli keluarga/ sesiapa yang rapat) juga mendapat entitlement untuk tiket murah ke mana-mana destinasi.

Memandangkan awal tahun 2016 entitlement tersebut sudah pun bermula, maka hasrat untuk ke Tokyo telah saya dan suami maklumkan kepada adik ipar dan suaminya seawal bulan Julai 2016 atau Ogos 2016 kalau tidak silap saya. So, pada bulan Disember 2016 kami putuskan untuk ke Tokyo pada 5 hingga 7 Januari 2017. Tarikh terakhir untuk membolehkan saya ke sana memandangkan 2 minggu selepas tarikh itu saya akan sibuk dengan presentation dan seterusnya final semester exam pada Februari 2017. Hendak tak hendak kena juga pilih tarikh tersebut. Jika nak pergi bulan Mac 2017 selepas exam, slot untuk 10 nama tambahan tak available sehingga April 2017 kalau tidak silap. Hanya ada untuk keluarga terdekat sahaja (pasangan dan anak-anak).

Harga tiket? Untuk 2 orang, kami dapat harga RM890 (return). Murah? Ya. Itu kelebihannya. Kekurangannya? Ia adalah tiket standby. Maksudnya? Boarding pass hanya akan boleh dikeluarkan sekiranya flight tersebut tidak ramai orang ataupun sejam sebelum berlepas masih ada kekosongan seat. Kalau penuh? Tunggulah next flight, atau datang sahaja lain kali sebab ia adalah open ticket & valid dalam tempoh setahun jika tidak silap.. huhuhu.. Kekurangan lagi satu, tiket ni tak boleh claim Enrich points.. Rugi!

3. Tukaran wang RM ke Yen

Tukaran RM ke Yen


Walaupun peluang untuk dapat boarding pass adalah 50-50, duit tukar perlu juga disediakan. Al maklumlah, duit Malaysia dikhabarkan tidak laku untuk ditukar di luar negara. Oleh itu, eloklah ditukarkan duit RM ke Yen sebelum bertolak ke Tokyo nanti..

Kami ke Mid Valley Mega Mall untuk menukar wang RM ke Yen memandangkan Mid Valley mempunyai beberapa kedai Money Changer yang menawarkan harga yang berpatutan. Kami ke Mid Valley pada 2 Januari 2017 kira-kira jam 11.00 pagi untuk menukar wang. Kadar waktu itu adalah 1000 yen = RM38.50. Malas nak tunggu lagi, kami pun tukar terus masa tu juga.. Bila dah petang sikit, rakan-rakan di group FB - Road to Japan ada yang melaporkan kadar tukaran turun sedikit ke RM38.47. Tak apalah. Sikit saja bezanya. So, daripada 15 keping RM100 setelah ditukar ke Yen kami hanya dapat 4 keping 10,000 Yen!! Nangis.. Huhu..

4. Insuran Perjalanan

Walaupun trip ini hanya untuk 2 hari 1 malam, saya tetap ambil insuran perjalanan. Manalah tahu kalau-kalau perkara yang tidak diingini berlaku. Sudahlah kos perubatan di Tokyo mahal. Baik sediakan payung sebelum hujan. Untuk trip ini, saya ambil insuran Kembara Takaful Ikhlas dengan bayaran RM25 sahaja.

5. Ubat-ubatan


Ubat-ubat dimasukkan dalam plastik transparent agar mudah dilihat

 Ubat-ubat yang bersesuaian saya bawa siap-siap macam gambar di atas. Senang saat-saat memerlukan barang dah ada.

Rasanya itu sahaja yang sempat saya kongsikan untuk entry kali ini. Pengalaman short trip 2 hari 1 malam ke Tokyo, Jepun akan saya sambung ke Part II akan datang. InsyaAllah..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...