Permulaanku

Daisypath Anniversary tickers

15 Oktober 2009

saya setuju...

... dengan artikel ini.. kita pun dapat lihat sekarang, makna AILDILFITRI tidak dihayati sepenuhnya.. (dipetik daripada berita harian).

Warna Kehidupan: 'Banyak budaya daripada agama'
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

rashiqah@bharian.com.my

Ramai gagal membezakan kedua-duanya ketika sambutan Aidilfitri. AIDILFITRI sepatutnya diraikan dalam semangat ukhuwah ummah yang padu sebagai tanda meraikan kemenangan berjaya melaksanakan ibadah puasa selama sebulan dengan memperbanyakkan tasbih dan tahmid menjelang malam raya sehingga ke pagi Hari Raya.

Bagaimanapun, sambutan Aidilfitri kini terlalu banyak disalut dengan aspek budaya sehingga menjejaskan pengertian sebenar Syawal mengakibatkan ramai yang terlupa konsep sebenar perayaan itu, lalu melahirkan banyak perkara tidak perlu dengan sesetengahnya menyimpang jauh daripada ajaran agama Islam.

Syawal di televisyen umpamanya lebih banyak dipaparkan sebagai hari untuk berhibur tanpa mengikut lunas syariah sehingga program yang kerap diketengahkan ialah menyanyi dan berjoget, bersalaman antara lelaki dan perempuan bukan muhrim dan menggayakan pakaian baru, tanpa menepati tuntutan menutup aurat seperti ditetapkan Allah SWT.


Bagi sebahagian besar umat Islam Malaysia khususnya di bandar, sambutan Syawal selama sebulan pasti akan diisi dengan majlis rumah terbuka sehingga ada sesama jiran, teman dan handai taulan yang sanggup berlumba-lumba bagi memastikan mereka kembang hati apabila mendapat pujian daripada tetamu.

Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Siti Rugayah Tibek, mengakui terlalu banyak perkara budaya yang disalutkan untuk perayaan Aidilfitri, sedangkan hakikatnya ia sepatutnya diisi dengan perkara berkait rapat dengan Islam kerana ia adalah ibadah.

“Aidilfitri menurut Islam, hanya disambut pada 1 Syawal dan ibadat bertakbir biasanya diadakan pada hari pertama raya saja. Tetapi masyarakat Islam, terutamanya di bandar, biasanya menyambut Aidilfitri selama sebulan semata-mata memenuhi tuntutan budaya,” ketika ditemui di Jabatan Pengajian Dakwah, UKM, Bangi, baru-baru ini. Beliau mengingatkan umat Islam agar segera menghayati Aidilfitri bukan sebagai suatu adat, tetapi ibadat berasaskan sumber hukum iaitu perlu dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah SWT, sejajar dengan tujuan asal perayaan berkenaan.

“Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utama Aidilfitri ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan pastikan jangan sampai aspek ini diabaikan. Janganlah terlalu ghairah menganjurkan rumah terbuka sepanjang Hari Raya. Lebih malang sehingga sanggup berbelanja berlebihan dan mengabaikan tanggungjawab terhadap kerja,” ujarnya yang mengingatkan umat Islam Malaysia agar merenung hukum syarak sebelum melakukan sesuatu tindakan.

Seperti Prof Dr Siti Rugayah, Pensyarah Jabatan Sosio Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Zamree Abu Hassan, turut mengakui penghayatan Syawal banyak dikaburi dengan nilai komersil sehingga ramai terperangkap dan tidak dapat membuat penilaian sewajarnya.

“Masalah timbul apabila kita tidak boleh membezakan tuntutan agama dengan budaya. Gedung perniagaan sudah memainkan lagu raya sejak dari 1 Ramadan untuk menarik umat Islam berbelanja sehingga sesetengah daripada kita lupa aspek ibadahnya. ”

Fenomena melihat kewajipan beribadat dalam Islam menjadi penghayatan budaya turut dapat dilihat melalui perbuatan umat Islam yang lebih taat berpuasa daripada mengerjakan sembahyang. Bukan suatu yang pelik kini melihat kelompok terbabit hanya sembahyang pada Ramadan. Ada juga yang hanya sembahyang waktu Maghrib,” jelasnya.

Justeru, tidak menghairankan apabila masyarakat Melayu menyambut Aidilfitri selama sebulan dan menganggap budaya mengadakan rumah terbuka pada bulan ini sebagai kewajipan dan pelengkap Aidilfitri di samping lebih menyedihkan Jika ia diadakan untuk kelompok dan tujuan tertentu saja. “Jika dulu, rumah terbuka boleh dikunjungi sesiapa saja tidak kira hari dan masa selagi umat Islam masih meraikan Syawal, tetapi kini tidak lagi. Sesetengah pula meraikannya dengan agenda tertentu dan ada kalanya tetamu jauh dijemput, tetapi jiran dilupakan,” ujarnya.

Oleh demikian, penghayatan semula Aidilfitri menurut gagasan Islam perlu dikembalikan demi memastikan generasi akan datang tidak mudah terpengaruh dengan nilai Barat yang diberi nafas dalam budaya Melayu, sekali gus menggugat nilai moral masyarakat.

“Walaupun Aidilfitri hanya setahun sekali, ia tidak semestinya diraikan dengan kemewahan dan dicemari dengan budaya negatif. Sambutlah dengan kesederhanaan walaupun sehari dan ia terbaik kerana tujuan sebenar Aidilfitri adalah meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, merapatkan hubungan ahli keluarga dan saling bermaafan,” tegasnya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...